Gambar hiasan

IPOH – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Kledang di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden yang menimpa Goon Swee Long, 71, pada 4.24 petang sebelum tiba ke lokasi sembilan minit kemudian.

“Maklumat diterima mendapati mangsa pada awalnya telah mengalami kepenatan dan sesak nafas. Mangsa kemudian dilaporkan telah pengsan berhampiran jalan yang menghala ke stesen pemancar di kawasan berkenaan pada ketinggian 800 meter dari aras laut.

“Bertindak daripada keadaan itu, anggota bomba yang berada di lokasi telah memberikan rawatan awal namun pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang hadir kemudiannya di lokasi sama telah mengesahkan mangsa meninggal dunia,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here