Kelima-lima mayat mangsa bot regata karam di Sungai Sarawak, Jumaat lepas ditemukan pagi tadi. Foto BOMBA

KUALA LUMPUR- Mayat kelima-lima mangsa yang terlibat dalam insiden bot regata karam semasa sesi latihan di Sungai Sarawak, Jumaat lepas ditemukan pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, semua mangsa ditemui secara berperingkat antara pukul 6.16 pagi hingga 7.09 pagi tadi.

“Kelima-lima mangsa telah dijumpai dan kini menunggu pengesahan daripada pihak polis serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Dua mangsa ditemukan pada pukul 6.16 pagi, satu lagi pada 6.40 pagi, Sarawak Coastguard menemui seorang lagi pada 7.07 pagi, manakala mangsa terakhir ditemukan pada 7.09 pagi dengan bantuan dron,” katanya.

Mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi itu dikenali sebagai Mohamad Ikhmal Sama’ail, 34, Majurie Maharuf, 32, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26, Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23 dan Mohamad Khairul Bidin, 26.

Semua mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

Mangsa adalah kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak.

Ketika kejadian kira-kira pukul 3.40 petang Jumaat lalu, mereka bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Regata Sarawak pada 1 hingga 3 November depan.

Perahu panjang yang mereka naiki karam selepas dibadai gelombang yang terhasil oleh kapal nelayan yang datang dari arah bertentangan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Latihan regata tukar tragedi, lima peserta dikhuatiri lemas

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here