Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang memusnahkan tiga premis yang berusia hampir 100 tahun di Jalan Besar Kuantan pada petang semalam

KUANTAN – Seorang peniaga dikejutkan dengan insiden kedai milik keluarganya yang berusia lebih 100 tahun hangus dalam kejadian di Jalan Besar, dekat sini, petang semalam.

Pewaris generasi perusahaan K.A Mohamed Sharif, Mohd Arif Mohd Ali,49, berkata  kebakaran petang semalam telah meragut segala nostagia dan pengorbanan datuknya yang berhijrah dari India ke Tanah Melayu pada tahun 1920.

Menurutnya datuk telah bersusah-payah membangunkan perniagaan keluarga sejak dari mula sehingga dapat dinikmati oleh generasi ketiga dan beliau berhasrat menyambung delegasi kepada anaknya tidak lama lagi.

“Saya sekarang sudah berusia 50 tahun dan berhasrat untuk menyerahkan perniagaan ini untuk diuruskan anak, namun hajat saya tak sampai.

“Apa yang saya kenangkan ayah lalui susah payah untuk keluarga begitu juga atuk, memang tak boleh lupakan dari mula. Kenangan manis bila masa dahulu tiada barang canggih jadi setiap kerja dibuat dengan susah payah,” katanya.

Mengimbau kembali, perniagaan keluarganya diasaskan oleh datuknya Mohd Sharif Kanja dan diwarisi oleh ayahnya Mohd Ali Peer sehingga tahun 1980.

Selepas itu perniagaan itu diteruskan oleh empat adik-beradik termasuk Arif sehingga hari ini dengan perluasan empayar kepada empat buah premis termasuk kedai karpet, kedai runcit, pengurup wang dan kedai kain.

Menceritakan detik cemas semalam, kebakaran sekelip mata itu berpunca dari pintu belakang di kedai karpet hujung di sebelah kanan telah mengakibatkan deretan kedainya musnah dijilat api dengan anggaran kemusnahan barangan lebih RM3.5 juta.

“Semasa kejadian saya baru mahu menunaikan solat Asar di kedai kain paling hujung, tiba-tiba pekerja panggil bagitahu ada kecemasan dalam pukul 4.15 petang.

“Api merebak terlalu pantas apabila kita buka balik suis tendang. Kita naik balik api dah merebak akibat spark selepas Asar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya pihak bomba tiba kira-kira 30 minit selepas kejadian berlaku dan berjaya mengawal 80 peratus kebakaran kira-kira jam 5 petang dan operasi pemadaman api selesai sepenuhnya, jam 7 malam.

Beliau bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dan kesemua 20 pekerja selamat.

Dalam pada itu Mohd Arif turut berbesar hati apabila Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah mencemar duli menziarahinya pada 10.45 malam tadi.

Pada kunjungan itu baginda turut berkenan menyumbang kurniaan.

MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here