Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Seorang pegawai Selangor FC yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada petugas media selepas aksi Liga Super malam tadi tidak dibenarkan berada di atas padang dan hadir ke stadium.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pegawai terbabit hanya akan melakukan urusan di belakang tabir sahaja selepas ini.

“Saya sudah arahkan pegawai terbabit direhatkan. Saya minta maaf kepada media terhadap apa yang berlaku.

“Pengurusan sudah berbincang dan akan pastikan pegawai terbabit tidak berada di padang atau stadium lagi dan saya berjanji perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal sukan melaporkan tindakan seorang pegawai Selangor FC yang memarahi media di khalayak ramai sejurus tamat perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan PDRM FC di Stadium Selayang, malam tadi.

Tindakan itu dipercayai kerana tidak berpuas hati apabila terdapat media yang merakam perjumpaan pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil bersama penyokong pasukan itu sebaik tamat perlawanan.

Menerusi semakan yang dibuat, pegawai berkenaan sebelum ini pernah dikenakan hukuman gantung 10 perlawanan dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah melakukan provokasi melampau ketika perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here