Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berucap pada Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – MCA akan menyokong apa juga Rang Undang-undang (RUU) yang baik untuk dibawa ke Parlimen bagi diluluskan.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berpendapat, RUU Mufti yang akan dibentangkan kali kedua pada sidang Dewan Rakyat kali ini haruslah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk MCA, sebagai parti komponen kerajaan.

“MCA tiada wakil dalam Kabinet tetapi bagi Barisan Nasional, kita kena menyampaikan pandangan daripada semua kaum. Termasuklah parti-parti politik, mesti ada suara kedengaran daripada perspektif bukan Islam atau masyarakat Cina.

“MCA telah menyatakan pandangan secara rasmi baru-baru ini, dan diharapkan ia diambil kira sebelum RUU ini dibentang dan diluluskan.

“Terserah kepada Jemaah Menteri dan kerajaan hari ini untuk berlandaskan kepada nilai-nilai yang kita dokong selama ini, memastikan apa jua RUU yang akan menjadi Akta atau undang-undang pada masa akan datang, tidak memberi kesan kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke 71 di Dewan San Choon, hari ini.

Perhimpunan tersebut dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Ka Siong lagi, kerajaan seharusnya memperhalusi apa-apa peruntukan dalam RUU berkenaan dengan teliti sebelum dibawa untuk digubal di Dewan Rakyat.

Pendekatan itu kata Ka Siong adalah penting sebagai kelulusan pindaan melibatkan Perlembagaan Persekutuan berhubung kait isu taraf kewarganegaraan yang dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini.

“Bagi saya, apa jua RUU perlulah melalui proses yang sama, iaitu mendengar suara rakyat daripada pelbagai latarbelakang.

“Saya yakin, apabila kerajaan mengambil kira kepentingan masyarakat majmuk, meraikan kepelbagaian dan memelihara hak serta kebebasan rakyat dengan berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, maka sudah tentu kehidupan rakyat Malaysia menjadi lebih sejahtera,” katanya lagi.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah.

Media sebelum ini melaporkan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula Isnin lalu mana ketika ini ia menjadi polemik dalam kalangan beberapa pihak, termasuk agamawan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here