BERKUNJUNG ke Taiwan pastinya tidak lengkap khususnya buat pelancong Muslim sekiranya tidak menikmati pelbagai jenis makanan laut segar hasil tangkapan nelayan di negara pulau Asia Timur itu.
Jika anda seorang penggemar ikan, sotong, ketam, udang, tiram dan pelbagai lagi, pastikan Su’ao yang terkenal sebagai ‘syurga’ restoran makanan laut terletak di selatan daerah Yilan dimasukkan ke dalam senarai lokasi wajib dikunjungi.
Itulah yang dirasai penulis selepas menempuhi perjalanan bas melihat panorama gunung ganang dan sawah padi selama lebih satu jam dari pusat bandar utama Taipei yang dipenuhi ‘hutan batu’.
Sebaik sahaja tiba di sini, hati pastinya bertukar gembira apabila melihat kawasan pedalaman di pekan Su’ao seakan-akan pulang ke kampung halaman.
Di sini, pandangan penulis tertumpu kepada puluhan bot-bot dan kapal-kapal nelayan yang berlabuh di Su’ao Habor yang di hadapannya tersergam deretan bangunan lama menempatkan restoran makanan laut.
Tidak hanya menjual makanan segar, terdapat juga kedai yang menjual hasil makanan laut yang sudah dikeringkan untuk dibawa pulang pelancong.
Pemandu pelancong yang juga anak jati Yilan, Fang Tzu Wei, 40, memberitahu, di situ terdapat kira-kira 100 nelayan yang menjadi pembekal makanan laut segar kepada puluhan restoran di Suou.
Menurutya sebagai sebuah perbandaran berkeluasan 89 kilometer persegi dengan populasi 40,000 penduduk, komuniti di kawasan pedalaman ini kebanyakannya bekerja kampung seperti nelayan dan petani.
Namun sejak beberapa tahun ini, kerajaan Taiwan memberi galakan kepada generasi muda untuk kembali ke sini membangunkan kawasan ini sebagai tarikan eco pelancongan.
Ini termasuklah menggalakkan golongan belia melakukan inovasi terhadap produk warisan keluarga itu bagi memastikan ianya mampu menarik minat pelancong pada harga yang berpatutan.
Di sini, pelancong berpeluang mengenali dan mendekati budaya masyarakatnya sekali gus merapatkan jurang antara pelancongan bandar dan pedalaman termasuklah penginapan dalam ladang, pasar pagi yang turut menjadi tarikan utama.
Su’ao dibentuk oleh 12 pekan yang mengandungi 26 buah kampung antaranya Aiding, Cunren, Dingliao, Gangbian, Nanan, Nancheng, Nanjian, Nanning, Shengai, Shenghu, Subei, Sunan, Sutung, Suxi, Tungao, Xincheng, Yongchun, Yongguang, Yongle dan Yongrong.
Antara tarikan lain pelancong di sini adalah Neipi Beach, Nantian Temple, Kailu Xianfengye Temple, Baitul Muslimin Mosque, Coral Museum, Nanfang’ao Fishing Port, Su’ao Cold Spring, Su’ao Fortress, Tofu Cape, Wulaokeng, Zhu Dayu Culture Museum dan
Bai Mi Wooden Clog Village.
Masjid Baitul Muslimin umpamanya, adalah masjid pertama dibina di daerah Yilan oleh sekumpulan nelayan dari Indonesia yang bekerja di kawasan itu sebagai tempat beribadat.
Pendek kata, percutian mesra Muslim dikenali Salam Taiwan oleh Biro Pelancongan Taiwan kelolaan Hexa Comms benar-benar mengubah tanggapan penulis terhadap Taiwan yang jumlah penduduk Islamnya hanyalah sekitar 0.3 peratus atau 70,000 daripada 23 juta majoriti rakyatnya adalah China.
Jangan lupa, untuk berkunjung ke Su’ao kerana selain boleh menikmati makanan laut sepuas-puasnya, terdapat pelbagai lagi aktiviti yang boleh dilakukan di sini!. – MalaysiaGazette