Komputer riba yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada penerima pada Majlis Pelancaran Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR-  Seramai 904 mahasiswa terpilih menerima Skim Bantuan Komputer Riba Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tahun 2024 yang julung kali diadakan.

Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, ia merupakan skim bantuan baharu yang diwujudkan bagi meringankan beban kewangan mahasiswa daripada golongan B40 dan asnaf.

“Melihat kepada keperluan ini, MAIWP turut mengorak langkah untuk menawarkan Skim Bantuan Komputer Riba kepada mahasiswa dari kalangan anak-anak asnaf yang menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Pada hari ini, mereka akan menerima satu komputer riba yang bernilai RM3,800 dengan perbelanjaan keseluruhan dana zakat sebanyak lebih RM3.4 juta.

“Saya difahamkan permohonan telah dibuka pada hujung tahun 2023 permohonan tahun 2024 dan ia dibuka secara tahunan kepada mahasiswa yang layak,” katanya.

Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer (tengah) bergambar bersama penerima selepas melancarkan Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 OKTOBER 2024

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Bantuan Komputer Riba Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Tahun 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Tambahnya lagi, MAIWP telah memperuntukkan lebih RM114 juta melibatkan 12 skim bantuan zakat pendidikan bermula peringkat persekolahan hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) sepanjang tahun 2024.

“Sehingga Oktober ini, MAIWP juga telah mengagihkan dana zakat lebih RM827 juta menerusi pelbagai insiatif dan bantuan kepada asnaf yang memerlukan. Daripada jumlah ini, lebih RM87 juta telah diagihkan menerusi Skim Bantuan di bawah kluster pendidikan,” jelasnya.

Tambah Syed Kamarulzaman, pihaknya juga mensasarkan seramai 2,000 penerima Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP bagi setahun yang menjadi program bantuan tahun yang dianjurkan pihaknya.

Katanya lagi, mereka yang ingin memohon bantuan tersebut boleh terus ke laman sesawang MAIWP malah pihaknya juga sedia melangsaikan bayaran balik pinjaman kepada mahasiswa yang mencapai keputusan cemerlang.

Penerima, Nur Afiah Azizul Hakim dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bercakap ketika ditemubual pada Majlis Pelancaran Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 OKTOBER 2024

Sementara itu, salah seorang penerima Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP 2024, Nur Afiyah Azizul Rahim meluahkan rasa syukur kerana bantuan tersebut dapat memudahkannya untuk melakukan tugasan terutama pada golongan yang tidak berkemampuan.

Dia yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik terpaksa berkongsi komputer riba dengan adiknya yang belajar di Pahang dan perlu menunggu waktu cuti untuk membuat tugasan.

“Saya ada minta bantuan tempat pengajian saya dan dari situ jumpa mengenai perkara ini dan segera memohon bantuan komputer riba.

“Saya berasa bersyukur kepada MAIWP sebab dengan bantuan komputer riba ini, boleh bantu saya untuk belajar dan menyenangkan buat kerja kalau tidak ia amat susah.

“Antara cabaran saya sebelum ini, perlu berkongsi komputer riba dengan adik yang keempat dan perlu tunggu dia cuti baru boleh guna komputer riba untuk buat kerja,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here