Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang digunakan untuk menghalangnya berada di galeri awam Parlimen.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang digunakan bagi menghalangnya untuk berada di kawasan pemerhati dan petugas kepada ahli Parlimen pembangkang.

Menyifatkan peraturan itu sebagai tidak masuk akal, Wan Ahmad Fayhsal berkata, ia jelas satu bentuk kezaliman terhadapnya memandangkan tarafnya kini disifatkan lebih rendah daripada orang awam sedangkan beliau merupakan ahli Parlimen yang dipilih secara sah oleh rakyat.

“Adakah saya ini satu ancaman kepada Parlimen? Adakah muka dan keberadaan saya ini memberi tekanan kepada kerajaan di Parlimen?

“Adakah saya ini terlalu merbahaya untuk berada di Parlimen meskipun dalam keadaan saya tidak boleh bercakap sepatah perkataan pun, jadi saya harap speaker boleh jawab,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Kamal menunjukkan surat pekeliling yang melarangnya berada di galeri awam Parlimen dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal turut mendedahkan surat pekeliling yang melarang beliau berada di galeri awam dan di kawasan pemerhati ahli Parlimen pembangkang yang dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat bertarikh 15 Oktober lalu.

Sementara itu, beliau turut membandingkan hukuman terhadapnya dengan kes penggantungan yang pernah dikenakan terhadap Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Sri Lim Kit Siang ketika sidang Dewan Rakyat pada Mac 2018.

Ketika itu, kata beliau, Kit Siang masih dibenarkan duduk di kerusi beliau dalam Dewan Rakyat walaupun tidak dibenarkan berbahas meskipun turut dikenakan penggantungan selama enam bulan.

“Tetapi kenapa hari ini, dalam sebuah kerajaan yang diketuai oleh seorang individu yang dipanggil Ketua Reformasi Malaysia, bukan sahaja menafikan hak saya untuk membela diri dalam jawatankuasa khas berhubung isu surat layang malah melarang sama sekali untuk saya memerhati sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung?” soalnya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal sudah menghantar surat rayuan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung sekatan yang dikenakan terhadapnya dan berharap pekeliling tersebut ditarik balik.

Pada Julai lalu, beliau digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti dalam undi belah bahagi dengan 110 ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Terdahulu, usul berhubung penggantungan Wan Ahmad Fayhsal itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here