PUTRAJAYA – Sumbangan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, dalam Belanjawan 2025 membuktikan kerajaan tidak mengenepikan penjawat awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, walaupun kerajaan perpaduan telah melaksanakan penyelarasan gaji buat penjawat awam namun masih boleh menyalurkan bantuan khas kepada penjawat awam.

“Kerajaan masih lagi memberikan bantuan khas untuk persekolahan, untuk menghadapi persekolahan dan juga persiapan pada Hari Raya.

“Jadi di sini dapat kita lihat bahawa keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam sangat tinggi dan inilah saya minta supaya penjawat awam membalas dengan sesuatu yang lebih baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis menandatangani Opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh 75 warga kerja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), di sini, hari ini.

Pada jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak serta RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

Sementara itu bagi terus memelihara kesejahteraan penjawat awam, kerajaan mengumumkan beberapa peruntukan termasuk menyediakan lebih RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam.

Anwar berkata, ia membabitkan kuarters guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here