Foto Facebook Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengalu-alukan Belanjawan 2025 yang mengiktiraf usaha transformasi industri negara dengan peruntukan RM2.184 bilion.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, MITI terus komited untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan global yang kompetitif serta memperkukuh daya saing ekonomi negara.
Menurut beliau, Belanjawan 2025 jelas mengiktiraf keberkesanan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) dalam usaha transformasi industri Malaysia selain pengumuman langkah Kerangka Insentif Pelaburan Baharu.
“Peruntukan RM200 juta untuk Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF2) dan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF3) juga dihargai.
“Penunjuk ekonomi utama untuk suku kedua 2024 termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pekerjaan dan gaji median menunjukkan bahawa kita akan memenuhi sasaran yang ditetapkan untuk NIMP2030 bagi 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MITI dan Pengumuman Kad Laporan MITI Suku Ketiga 2024 di Menara MITI di sini hari ini.

Tengku Zafrul menambah, jika dibandingkan antara suku kedua 2023 dan suku kedua 2024, nilai ditambah KDNK meningkat sebanyak 4.7 peratus atau RM4.2 bilion.

Menurutnya, pekerjaan juga meningkat 0.9 peratus atau 200,000 pekerja pada suku kedua 2024 berbanding suku kedua tahun lepas manakala gaji median meningkat 8.2 peratus atau RM201 pada suku pertama 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2023.

“MITI akan terus memacu perdagangan antarabangsa, pelaburan berkualiti tinggi, dan pembangunan industri yang berinovasi bagi memangkin pertumbuhan ekonomi mampan dan berdaya saing untuk Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here