JERANTUT – Jadual pemakanan yang sihat antara kunci kejayaan pelatih kecergasan, K Jey Prabakaran Thevar yang menjadi orang pertama melakukan senaman kardio dan angkat berat selama 15 jam tanpa henti.
Beliau yang dikenali sebagai Dr. Kjey berkata, menu diet disediakan oleh ibunya, S Sukunamalar, 66, sebanyak lapan kali sehari bagi memastikan kesihatannya terjaga.
Menurut beliau, ibunya konsisten dalam menyediakan makanan berkhasiat dan membuat bekalan makanan dietnya jika membuat latihan di luar.
”Makanan diet saya air tangan mak saya, semuanya mak yang masak dan sediakan dari dahulu sampai sekarang.
”Saya amalkan diet tanpa gula, garam dan makan lapan kali dalam sehari tapi dalam kuantiti sedikit untuk kekuatan fizikal,” kata anak jati Lipis berusia 27 tahun itu.
Lebih membanggakan beliau telah memecah rekodnya sendiri yang dibuat sebelum ini dengan melakukan senaman kardio dan angkat berat tanpa henti rekod 12 jam.
Pencapaian tersebut sekali gus diiktiraf oleh Asia Book Of Records (ABOR) dan Malaysia Book of Records (MBOR) pada 23 Julai tahun lalu.
Jelasnya, pencapaian memecah rekod ABOR dan MBOR tahun lalu mendorongnya untuk memecahkan Guinness World Records dengan rekod 15 jam tanpa henti pada September baru-baru ini.
Sijii pengiktirafan bagi rekod terbaharunya diserahkan oleh wakil Influcer Book Of World Record (IBOWR), P Tamilanban dan wakil MBOR, Mohamad Hazrul Hafizi Ahmad Fauzi di Jerantut Hill Resort semalam.
Minat sejak berusia 16 tahun ketika di bangku sekolah mendorongnya untuk kekal aktif sehingga memecah rekod dilakukan pada jam 6.30 pagi hingga 10.30 malam di sebuah pusat kecergasan di bandar Kuala Lipis.
Anak bongsu daripada empat beradik itu kini merancang memecahkan tiga rekod baharu dunia pada tahun hadapan,
Sementara itu, wakil Book Of World Records, Tamilanban berkata, belum ada individu yang mampu mencatatkan masa beraktiviti senaman kardio dan angkat berat tanpa henti seluruh dunia setakat ini.
Menurutnya, aktiviti dan pencapaian Kjey sentiasa dipantau, dirakam dan dihantar kepada wakil BOWR di India, United Kingdom atau Jerman untuk disahkan.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan anak muda bagi memecah rekod dunia dalam apa jua bidang yang bersesuaian bagi mengharumkan nama negara. – MalaysiaGazette