Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR – Polis telah memperhebatkan siasatan ke atas satu pesanan individu yang dikesan menyamar dan menggunakan nama pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aplikasi media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya mendapati pesanan itu dibuat oleh seorang individu yang mengaku dirinya sebagai “Dato’ Ayob Khan Mydin” di aplikasi WhatsApp.

“Semakan lanjut mendapati individu yang menyamar sebagai pegawai pimpinan tertinggi itu mengajak individu lain untuk turut menyertai kumpulan WhatsApp friendship group di platfom aplikasi tersebut.

“PDRM ingin menegaskan bahawa Dato’ Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Negara tidak pernah mengendalikan sebarang group khas dalam WhatsApp,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Rusdi, perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta berpotensi memburukkan imej pasukan PDRM.

“Polis akan bertindak tegas dan menjalankan siasatan terhadap pemilik nombor berkenaan berdasarkan lunas undang-undang terhadap individu yang cuba menggunakan nama pimpinan tertinggi PDRM mahu pun orang lain sekiranya terkesan.

“Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan aktiviti penipuan atas talian dan hendaklah sentiasa berwaspada,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast