Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Isu keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan dan kebolehpasaran siswazah menjadi antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soal keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan susulan pencerobohan kapal frigat tentera China dan Pengawal Pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Wilayah Maritim Sarawak dibangkitkan oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pada sesi jawab lisan.

Selain itu, isu mengenai program latihan kemahiran yang dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pekerja tempatan dalam sektor teknologi serta industri 4.0 turut diajukan oleh Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) kepada Menteri Sumber Manusia.

Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) pula meminta penjelasan daripada Menteri Ekonomi mengenai mekanisme dan strategi yang digunakan bagi memastikan program Jelajah MADANI Mendengar berfungsi sebagai platform terbaik dan efektif untuk kerajaan mengumpulkan input dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-13.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dalam soalannya kepada Menteri Komunikasi meminta penjelasan berhubung percanggahan dengan respons Asia Internet Coalition (AIC) yang menggesa kerajaan agar membatalkan rancangan pelesenan platform media sosial.

Sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025, yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, akan diteruskan selepas sesi soal jawab.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Dis depan.

— BERNAMA

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here