KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini diingatkan supaya tidak menjadi seperti kerajaan`lembu kenyang’.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan tidak sepatutnya berbangga dengan data-data ekonomi dan angka-angka yang tidak menyantuni rakyat seperti kadar inflasi 1.9 peratus.
Sebaliknya, ujar Ahli Parlimen Larut itu, kerajaan sepatutnya sedar realiti rakyat di bawah yang berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Realitinya sehingga ke hari ini, bekalan beras tempatan pun masih tidak selesai.
“Realitinya peluang pekerjaan setimpal dengan kelayakan rakyat pun masih berkurangan.
“Tolonglah. Bantulah. Kami hanya mahu menyuarakan rintihan rakyat. Bagilah apa sahaja bantuan kepada rakyat,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Hamzah, kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini mendapati lapan daripada 10 isi rumah di Malaysia menghadapi cabaran kewangan untuk mencukupi keperluan asas dan 90 peratus isi rumah di negara ini terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
Bahkan, ujar beliau, sudah menjadi perkara biasa hari ini bagi ketua keluarga terpaksa membuat lebih daripada satu kerja bagi menyara kehidupan dan ramai dalam keluarga B40 cuma makan satu atau dua kali saja sehari akibat tekanan hidup.
Bukan itu sahaja, tambahnya, kini rata-rata pekerja juga terpaksa memilih membawa bekal makanan di pejabat bagi mengurangkan perbelanjaan mereka kerana kekangan kewangan.
“Sepatutnya, realiti kepayahan hidup yang dihadapi rakyat, yang disokong oleh data-data ini harus disantuni dengan baik melalui Belanjawan 2025,” katanya.
Tambah Hamzah, setiap kali belanjawan dibentang, rakyat sebenarnya mengharapkan kos sara hidup yang rendah, pekerjaan dan peluang ekonomi, kesihatan dan pendidikan yang berkualiti, perumahan mampu milik, jaminan sosial yang kuat dan kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
Selain itu, ujar beliau, rakyat juga mahu melihat pengekalan atau peningkatan subsidi ke atas barangan asas seperti beras, tepung, dan bahan api bagi meringankan kos harian.
Rakyat juga, katanya, mahu kawalan harga lebih ketat bagi mengelakkan manipulasi harga dan tentunya rakyat mahukan program bantuan tunai diperluaskan kepada semua mereka yang memerlukan.
“Rakyat juga mahukan peluang pekerjaan yang luas dan berkualiti, mahukan akses kepada perumahan mampu milik yang sesuai dengan pendapatan mereka.
“Rakyat juga mahukan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti dan mahukan bantuan kewangan yang lebih besar bagi pendidikan.
“Dengarlah suara rakyat, dengarlah rintihan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette