KUALA LUMPUR – Kerajaan menyangkal dakwaan Gabungan Internet Asia (AIC) bahawa proses rundingan tidak dijalankan dengan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial dalam pelaksanaan dasar pelesenan media sosial.
Ini kerana menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, sejak April lalu, beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan telah dijalankan antaranya dengan Bytedance; Meta; Telegram; Google; X Corp dan Tencent.
Malah, ujar beliau, sesi perbincangan dan libat urus bersama AIC juga diadakan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 28 Mei lalu yang mana AIC sendiri telah mengemukakan maklum balas bertulis pada 26 Jun lalu kepada SKMM.
“Dakwaan AIC dalam surat terbuka bertarikh 26 Ogos 2024 bahawa pembangunan kerangka pelesenan tidak melibatkan proses rundingan adalah tidak betul dan tidak benar.
“Pandangan pihak berkepentingan telah diambil kira melalui beberapa siri rundingan dan libat urus yang berterusan bagi memastikan pembangunan kerangka pelesenan yang komprehensif,” katanya dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Nie Ching menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkenaan percanggahan maklum balas AIC yang menggesa kerajaan untuk menghentikan rancangan mengenakan lesen ke atas platform media sosial dan sejauh mana tahap kebersediaan penyedia perkhidmatan platform terhadap pelaksanaan dasar itu.
Sementara itu, Nie Ching menjelaskan, kerangka pelesenan itu dibangunkan bertujuan memastikan akauntabiliti semua pihak termasuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial, mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan menangani isu-isu jenayah dalam talian.
Selain itu, katanya, kerangka itu juga bertujuan melindungi pengguna terutama kanak-kanak dan mereka yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian selaras dengan amalan terbaik global.
“Dalam hal ini, intervensi kawal selia adalah sangat penting dan tepat pada masanya, di mana penyedia perkhidmatan perlu menguruskan operasi mereka dengan lebih baik di Malaysia termasuk menangani secara efektif kandungan mudarat, selain memperkukuh sistem dalam mengurangkan jenayah siber di platform mereka,” katanya.
Pada 26 Ogos lalu, AIC menggesa kerajaan menghentikan serta mempertimbang dengan teliti rancangan pelesenan untuk platform media sosial menerusi surat bantahan yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 27 Julai lalu, SKMM mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari 2025.
Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588. – MalaysiaGazette