KUALA LUMPUR – Dua pertuduhan menyalahgunakan wang infak berjumlah lebih RM63,000 yang dihadapi pempengaruh, Alif Teega akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, setelah pendakwaan memohon dua pertuduhan mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu dibicara bersama.
Permohonan itu tidak dibantah peguam mewakili tertuduh, Mohd Shahrullah Khan, sebaliknya memohon tarikh sebutan awal di Mahkamah Shah Alam.
Alif telah memohon untuk pemulangan pasport untuk sementara waktu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi kemudian membenarkan kes tersebut dipindah ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, wang jaminan dilanjutkan dan sebutan semula kes pada Rabu ini di mahkamah tersebut.
Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar di Mekah, Syria, dan Palestin.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari, di sini, pada 26 April tahun ini.
Bagi pertuduhan kedua, pempengaruh itu didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN di bank yang sama pada 15 Jun lalu.
Alif didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun dan dengan sebat serta denda.
Alif dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta, tiga tahun lalu.
Pasangan itu didakwa hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber, namun pasangan itu menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.
Pada 11 Julai lalu, Alif dan Aisyah direman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah bermula 2022. – MalaysiaGazette