Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika melancarkan buku Dasar Sosial Negara 2030 pada Majlis Pelancaran Dasar Sosial Negara 2030 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 21 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR -Platform Perkhidmatan Sosial Digital yang menggabungkan semua semua perkhidmatan sosial kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta akan diwujudkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, platform tersebut akan berfungsi sebagai sebuah pusat sehenti.

“Pewujudan Platform Perkhidmatan Sosial Digital itu adalah bagi mengatasi pelbagai isu sosial yang semakin meningkat ketika ini.

“Selain itu, ia juga akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memberi sokongan kesihatan mental, kebajikan, peluang pekerjaan serta pendidikan dengan menggunakan bantuan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk padanan perkhidmatan,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Majlis Sosial Negara (MSN) berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Peluncuran Dasar Sosial Negara (DSN) 2030, di Pusat Perdagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, Hab Teknologi Berasaskan Komuniti juga boleh diwujudkan sebagai pusat latihan literasi digital dan inkubator keusahawanan sosial bertujuan untuk menangani isu sosial seperti jurang pendidikan, kemampanan alam sekitar dan penjagaan kesihatan luar bandar.

“Langkah lain yang boleh diambil adalah pemantauan Integrasi Kesihatan Mental di tempat kerja yang menyediakan polisi sokongan seperti waktu kerja fleksibel, perkhidmatan kaunseling, dan latihan pengurusan tekanan.

“Perkhidmatan Kaunseling Bergerak juga boleh digunakan, di mana kaunselor berlesen akan menyediakan sokongan segera melalui panggilan video atau memudahkan akses kepada individu yang memerlukan,” katanya.

Selain itu, penggunaan analisis data untuk mengesan dan meramal ancaman buli siber serta penipuan dalam talian secara proaktif.

“Intervensi Melalui Media boleh diperkuatkan dengan meningkatkan kandungan televisyen mempromosikan nilai positif, mendidik masyarakat mengenai isu sosial dan menghasilkan kempen kesedaran berfokus kepada kemanusiaan.

“Saya percaya melalui kandungan program televisyen dan radio, ia dapat membentuk minda dan jiwa masyarakat lebih baik,” katanya.

Kesemua langkah yang diambil ini adalah usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan sosial terjaga selain memberi peluang rakyat menikmati peluang yang menjamin kehidupan bermaruah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here