Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

PUTRAJAYA – Malaysia akan menjadikan pendidikan tinggi antara agenda besar yang akan dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta supaya program melibatkan pendididkan tinggi diadakan semasa sidang kemuncak itu berlangsung.

Menurutnya, KPT gembira kerana kebanyakan negara ASEAN menerima pakai cadangan Malaysia iaitu untuk mengkhususkan perbincangan dalam konteks pendidikan tinggi dalam ASEAN.

“Sebelum ini, seperti yang kita sedia maklum ia hanya tertumpu kepada SEAMEO (Southeast Asian Ministers of Education Organization) semata-mata iaitu SEAMEO ini untuk pendidikan ASEAN.

“Tapi pada kali ini, negara-negara ASEAN pada umumnya bersetuju supaya akan ada mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi selepas mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN.

“Jadi, Perdana Menteri telah minta supaya kita aturkan program itu supaya ada mesyuarat khas yang berkaitan dengan pendidikan tinggi juga melibatkan Menteri-Menteri daripada negara ASEAN,” katanya kepada media.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Akademia 2024 (KA24) di Dewan Za’ba, KPT di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Zamry berkata, sebelum ini banyak negara ASEAN meletakkan pendidikan di peringkat sekolah dan pengajian di universiti dalam satu kementerian.

Bagaimanapun beberapa negara anggota termasuk Thailand, Singapura dan Indonesia telah mula mewujudkan dua kementerian berasingan.

“Mereka melihat Malaysia boleh mengambil langkah konstruktif supaya agenda pendidikan tinggi dibincangkan dalam ASEAN.

“Banyak negara dalam ASEAN telah membahagikan kementerian berkaitan pendidikan kepada dua. Terbaharu saya menjangka Probowo akan mengumumkan kementerian pendidikan tinggi dan penyelidikan.

“Di Thailand telah buat begitu, Singapura pun begitu dan kebanyakan negara ASEAN ke arah itu. Dulu kita ada platform SEAMEO sahaja yang diwakili oleh menteri pendidikan sahaja,” katanya.

Zamry mengharapkan semua ahli akademik dan kakitangan universiti dapat membantu dalam menjayakan agenda berkenaan.-MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here