KUALA LUMPUR – Malaysia akan memanfaatkan peluang Kepengerusian ASEAN 2025 untuk menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit termasuk di Laut China Selatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia sejajar dengan apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu.
Katanya, apa yang penting adalah untuk meneruskan aktiviti ekonomi termasuk menjaga keselamatan nelayan serta aktiviti perdagangan di laut.
“Yang penting di Laut China Selatan ini adalah proses bagaimana kita boleh teruskan aktiviti ekonomi, keselamatan bagi nelayan-nelayan kita dan dalam masa sama kita tahu perdagangan laut itu menjadi satu kawasan yang selamat di Laut China Selatan bagi keseluruhan aktiviti-aktiviti ekonomi,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai adakah sebarang cadangan untuk memasukkan agenda khas di dalam ASEAN 2025 dalam membincangkan isu-isu pencerobohan kapal perang China bersama dengan negara-negara ASEAN yang lain.
Terdahulu, Adly memaklumkan, Kementerian Pertahanan berpaksi kepada tiga teras penting untuk dijadikan keutamaan terkait dengan Laut China Selatan.
Tiga teras itu adalah kesiapsiagaan dan juga mengenai pemodenan aset-aset ketenteraan yang digunakan.
“Kita tahu bahawa proses paling penting bila kita di Laut China Selatan, kita lihat bagaimana kita boleh pemodenkan aset-aset ini.
“Kalau dilihat di dalam Parlimen ini, kita banyak bincangkan tentang keperluan-keperluan aset satu isu yang cukup penting kepada kita.
“…yang kedua tentang operasi kita, macam operasi ni kita sentiasa tingkatkan dari semasa ke semasa, dan ketiga kita mendiplomasikan pertahanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette