Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada media berkenaan Majlis Persidangan Antarabangsa Rundingan Penerbangan Awam (ICAN) 2024 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Sunway Resort Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 21 OKTOBER 2024.

SUBANG – Malaysia sedang mengadakan perbincangan untuk memperkenalkan semula penerbangan terus dari Malaysia ke Rusia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan mengalu-alukan sekiranya ada syarikat penerbangan dari Rusia yang berminat untuk menawarkan perkhidmatan ke Malaysia.

“Kita memang sebelum ini sudah ada perbincangan dan sudah tentu akan ambil peluang pada mesyuarat (ICAN) kali ini untuk bincang bersama pihak penerbangan Rusia tetapi bergantung kepada syarikat komersial itu (penerbangan Rusia),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan ICAN 2024 di Bandar Sunway, di sini, hari ini.

Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia dan Rusia perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan penerbangan terus antara kedua-dua negara bagi meningkatkan jumlah pelancong.

Malaysia menerima lebih 100,000 pelancong dari Rusia pada 2023 yang dilihat sebagai potensi besar untuk meningkatkan jumlah pelancong dari negara itu melalui penyediaan lebih banyak penerbangan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here