LONDON – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengakui bahawa dirinya berpuas hati dengan kemenangan pasukannya ke atas Brentford di tempat sendiri awal pagi semalam.
Pengendali kelahiran Belanda itu menilai anak buahnya berjaya menunjukkan semangat yang kuat untuk memenangi perlawanan ini selepas ketinggalan hasil jaringan Ethan Pinnock.
Dia menganggap sebagai gol yang tidak adil buat United namun pasukannya berjaya mengubah kedudukan menjadi 2-1 hasil jaringan dua pemain muda mereka Alejandro Garnacho dan Rasmus Hojlund.
“Saya lihat pasukan ini mempunyai perwatakan yang sangat bagus di mana tekanan sentiasa ada kerana kami perlu menang setiap perlawanan.
“Apabila kami ketinggalan 1-0, kami merasakan tidak adil namun menggunakannya sebagai pembakar semangat.
“Kami gembira memenangi perlawanan kerana di United, anda perlu memenangi perlawanan dan juga menghadirkan hiburan (buat penyokong),” katanya memetik laporan MUTV oleh Buletin Manchester United di sini.
Namun Ten Hag juga memberi amaran kepada pasukannya untuk tidak perlu meraikan kemenangan itu ke atas Brentford kerana selepas ini United akan menempuh perlawanan sukar pada pertengahan minggu ini bertemu Fenerbahce di tempat lawan.
“Kami hanya perlu menikmati kemenangan ini selama 24 jam dan kemudian kami fokus dan melangkah ke perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Jadual United seterusnya adalah bertandang ke Istanbul di mana mereka dijadualkan bertemu Fenerbahce dalam perlawanan ketiga Liga Liga Europa 2024/2025. -MalaysiaGazette