KUALA LUMPUR – Sebarang agenda pembangunan dan pembaharuan semula bandar (PSB) menerusi penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan memastikan kepentingan pemilik dilindungi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, draf Rang Undang-Undang (RUU) PSB telah mengambil kira peruntukan khusus mengenainya yang mana semasa permulaan proses PSB dibuat, kerajaan akan berunding dengan pemilik bersama-sama dengan badan pelaksana dan pemaju yang dilantik.
Ujar beliau, proses rundingan akan diadakan sehingga semua pihak bersetuju dengan syarat-syarat dan kehendak pemilik terlibat.
“Selain itu, penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri turut dicadangkan untuk memastikan pemaju yang layak mempunyai kompetensi dan prospek pelaksanaan PSB, selain turut bertanggungjawab melindungi kepentingan pemilik sekiranya berlaku masalah sepanjang proses PSB.
“Selain itu, bagi memperkukuhkan lagi perlindungan ke atas hak dan kepentingan pemilik hartanah, satu Jawatankuasa Mediasi boleh ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan projek PSB,” katanya ketika sesi pertanyaan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kor Ming menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) berkenaan rancangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melindungi hak pemilik rumah yang terkesan dengan RUU PSB terutama mereka yang menghuni di kawasan bandar.
Sementara itu, Kor Ming berkata, dalam memastikan Draf RUU PSB responsif terhadap keperluan sebenar, KPKT telah mengadakan sebanyak 52 sesi perbincangan dengan kumpulan sasar (FGD) dan libat urus melibatkan pelbagai agensi.
Antaranya, kata beliau, dengan agensi Persekutuan dan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Peguam Negara, institusi pengajian tinggi awam, penggiat industri, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak-pihak berkepentingan lain bagi memastikan pelaksanaan undang-undang yang menyeluruh.
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan pembaharuan semula bandar mampu memastikan pembangunan yang dilaksanakan adalah lebih terancang dan inklusif selari dengan prinsip `leave no one behind’, termasuk dalam melindungi hak pemilik hartanah yang terkesan.
“KPKT komited dengan inisiatif pembangunan berkonsepkan pembaharuan semula bandar dan ikhtiar penggubalan Akta PSB ini diyakini dapat menyokong serta memenuhi perancangan negara ke arah memastikan kemampanan bandar dan kesejahteraan rakyat secara seimbang dan saksama,” katanya. – MalaysiaGazette