KUALA LUMPUR – Cadangan mewajibkan pengesahahan identiti dalam kalangan pengguna media sosial seperti pendaftaran menggunakan kad pengenalan atau MyKad memerlukan perbincangan terperinci.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ia juga bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan sekiranya platform media sosial sendiri tidak mewajibkan pengesahan identiti kepada pengguna mereka.
Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu mungkin boleh dijadikan syarat wajib mandatori pada masa depan iaitu selepas keberhasilan dasar pelesenan media sosial yang akan mula berkuat kuasa 1 Januari 2025.
“Bukan senang untuk kerajaan mahu masukkan syarat itu (pengesahan identiti) sebagai syarat wajib jika platform media sosial sendiri tidak wajibkan dokumen identiti sebagai mandatori.
“Tetapi ini mungkin boleh berlaku selepas kita ada pelesenan media sosial yang mana kita masukkkan ke dalam kod tata laku penggunaan media sosial.
“Tetapi ini bukan hasrat kerajan pada peringkat ini,” katanya dalam sesi pertanyaan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) sama ada kerajaan berhasrat untuk mewajibkan pengesahan identiti bagi pengguna media sosial seperti dilakukan sesetengah negara serta risiko keselamatan identiti pengguna sekiranya dasar itu dilaksanakan kelak.
Sementara itu, kepada soalan Ka Siong mengapa dasar pelesenan media sosial hanya dikenakan kepada platform dengan jumlah pengguna lapan juta orang, Nie Ching berkata, ia disebabkan ketika ini kebanyakan kegiatan jenayah siber berlaku di platform dengan jumlah pengguna yang besar.
“Kajian kita mendapati kebanyakan jenayah siber berlaku di platform sangat popular seperti Facebook, WhatApps, Telegram…sebab itu kita nak fokus kepada platform yang ada lapan juta pengguna ke atas.
“Kita akan lihat pelaksanaan mekanisme ini bermula tahun depan, sekiranya ia berkesan dan adil, jadi kita akan pertimbang untuk perluaskan lagi pelesenan ini kepada platform-platform lain,” katanya.
Pada 27 Julai lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari 2025.
Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588. – MalaysiaGazette