JAKARTA – Aktres terkenal Indonesia, Pevita Perace kini sah bergelar isteri kepada jejaka kelahiran Malaysia, Mirzan Meer dalam satu majlis resepsi baru-baru ini.
Pernikahan yang berlangsung di antara dua mempelai itu berlangsung dalam satu majlis yang dihadiri keluarga dan kenalan terdekat.
Suami kepada Pevita juga merupakan anak kepada Pengerusi Eksekutif Habib Group, Datuk Seri Meer Habib dan Datin Seri Zarida Noordin.
“Cinta damai kami telah disatukan hari ini (semalam), dengan disaksikan mereka yang penting dan bermakna dalam hidup kami,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagram, semalam.
Pasangan itu turut diraikan oleh selebriti dan artis terkenal Indonesia seperti Afgan.
Aktres berusia 32 tahun itu semakin dikenali menerusi lakonannya sebagai ‘Hayati’ dalam filem blockbuster, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (2013).
Selain itu, Pevita juga pernah membintangi filem-filem terkenal lain 5 cm (2012), Sebelum Iblis Menjemput (2018), Gundala (2019) dan Sri Asih (2022). – MalaysiaGazette