Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Dato Seri Zambry Abdul Kadir ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Akademia 2024 (KA24) di Dewan Za'ba, KPT, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Kebebasan ahli akademik untuk bersuara dan memberi pandangan tidak akan dikongkong.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, beliau akan menjadi ahli Kabinet pertama yang akan membantah jika sekatan bersuara dikenakan ke atas ahli akademik.

Zamry mengulas mengenai isu membabitkan memo dalaman yang dikeluarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya faham mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh UKM baru-baru ini. Walaupun ia memo dalaman dibicara oleh masyarakat. Malaysiakini beri tajuk ‘Memo Leak By Maszlee‘ Saya pun kasihan pada Maszlee.

“Kita kena memahami dalam konteks apa yang sebenarnya disebutkan oleh UKM itu. Apakah benar-benar ia cuba mengongkong?

“Kalau benar untuk mengongkong kebebasan akademik saya adalah menteri yang pertama yang akan kata tidak, dan saya tidak akan benarkan kongkongan-kongkongan yang cuba dilakukan terhadap golongan ahli akademik kita,” kata Zambry.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Akademia 2024 (KA24) di Dewan Za’ba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di sini, hari ini.

Serentak itu Zamby menegaskan, beliau akan mempertahankan kebebasan memberi pandangan dan bersuara oleh ahli akademik.

Sementara itu Zamry menafikan bahawa pekeliling yang dikeluarkan oleh UKM ada kaitan dengan Akta 605 yang didakwa mempunyai klausa menyekat ahli akademik memberi pandangan.

Bagaimanapun menurut beliau, setiap pekeliling yang hendak dikeluarkan oleh pusat pengajian tinggi perlu melihat dalam konteks universiti.

Ini kerana menurut beliau, eko-sistem dan budaya di universiti berbeza dengan pejabat awam yang lain.

“Sebab universiti merupakan tempat yang agak berbeza dari segi budaya dan ekosistem kerana kita tidak mahu setiap arahan yang dikeluarkan itu ditafsirkan sebagai mengekang hak dan juga kebebasan akademik dalam sebuah universiti.

“Ada pihak yang mengatakan bahawa ini juga adalah lanjutan daripada perkara (Akta) 605 tapi saya telah pun periksa dengan pihak UKM, bahawa selama ini mereka tidak pernah pun menggunakan perkara 605 yang berkaitan dengan disiplin dan sebagainya tindakan yang perlu diambil,” kata beliau.

Zamry turut menasihatkan ahli akademi yang ingin memberi pandangan supaya berasaskan kepada bidang dan disiplin mereka serta berdasarkan kepada fakta, penyelidikan dan bukti.

Mengenai dakwaan bahawa Akta 605 menyekat kebebasan ahli akademi, Zambry berkata, beliau akan meneliti perkara itu.

Sebelum ini Malaysiakini mendakwa, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik membocorkan memo dalaman daripada Jabatan Pendaftar UKM.

Laporan itu menyebut, Maszlee menerusi media sosial X, mendakwa telah menerima satu dokumen daripada rakan akademik bahawa UKM tidak membenarkan sebarang kenyataan awam dikeluarkan melainkan mendapat arahan berbuat demikian.

Bagaimanapun Maszlee berkata, beliau membangkitkan isu berkaitan Akta 605 yang menurut beliau perlu dipinda untuk memberi kebebasan kepada ahli akademik. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here