Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak memperincikan golongan ‘maha kaya’ iaitu kumpulan 15 peratus yang tidak akan menikmati subsidi petrol RON95 apabila pelarasan subsidi bahan api itu dilaksanakan pertengahan tahun depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini, tidak ada pengkelasan muktamad golongan ‘maha kaya’ itu daripada kerajaan menyebabkan rakyat kebanyakan bimbang mereka juga akan terjejas dengan pelaksanaan pelarasan subsidi RON95 itu kelak.

Apatah lagi, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Larut, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini turut memaklumkan pengkelasan 15 peratus golongan T20 itu sedang diperhalusi.

“Kita mahu tahu siapa golongan ‘maha kaya’ ini…kita nak dengar daripada YB Tambun (Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri, perincikan siapa sebenarnya yang terkaya dalam negara kita, siapa sebenarnya 15 peratus T20 ini.

“Jika perkara ini belum dimuktamadkan dan belum diperhalusi seperti disebut Menteri Ekonomi, maka saya risau akan jadi masalah lebih besar pada masa depan,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Hamzah, pelarasan subsidi bahan api RON95 yang akan dilaksanakan tahun depan realitinya akan menyebabkan majoriti rakyat khususnya golongan B40 dan M40 sebagai mangsa meskipun kerajaan menegaskan 85 peratus rakyat tidak akan terkesan.

Tegas beliau, perkara sama dapat dilihat menerusi pelarasan subsidi diesel yang menyebabkan harganya melonjak 56 peratus yang menyebabkan hampir seluruh rantaian ekonomi mengalami kenaikan harga.

“Subsidi bukan sedekah, walaupun dalam ucapan YB Tambun samakan subsidi seperti sedekah. Subsidi itu tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

“Lebih-lebih lagi jika pemimpin itu sudah berjanji kepada rakyat, bukan sekali tetapi berkali-kali,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here