KUALA LUMPUR – Pembangkang hari ini mempersoalkan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang hanya memberikan tempoh 90 minit kepada ketua pembangkang untuk membahaskan Belanjawan 2025.
Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan merujuk kepada amalan terdahulu khususnya ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan pada 2021 yang telah memperuntukkan tempoh 120 minit kepada ketua pembangkang untuk berbahas.
Katanya, kerajaan PN semasa menerajui Putrajaya memberikan tempoh masa yang sama kepada menteri kewangan membentangkan belanjawan, dengan ketua pembangkang untuk membahaskannya.
“Saya dah bertanya kepada bekas speaker mengenai perkara ini. Secara dasarnya jika menteri kewangan mengambil masa dua jam untuk bentangkan belanjawan, ketua pembangkang juga diberikan tempoh masa yang sama.
“Ketimbang yang dulu diberikan dua jam, sekarang ini 90 minit. Saya berharap ketua pembangkang akan diberikan masa yang sama (seperti) masa yang diambil oleh menteri kewangan semasa membentangkan belanjawan ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen KOta Bharu (PN).
Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Md Nor memutuskan supaya tempoh masa yang diberikan itu kekal dan permohonan Takiyuddin ditolak.
“Saya lihat ini adalah isu masa, pertimbangan masa untuk berucap…permohonan lebih waktu.
“Tetapi, kalau lihat rekod yang ada pada dewan, pada tahun lalu juga ketua pembangkang diberikan masa 90 minit untuk berbahas. Jadi tidak dapatlah saya nak putuskan dua jam lebih itu.
“Pada pembentangan belanjawan terakhir (tahun lalu) sebelum ini, ketua pembangkang diberikan 90 minit, habis,”ujarnya.
Selepas keputusan itu sesi sidang Parlimen diteruskan dengan ucapan perbahasan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – MalaysiaGazette