Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz hadir Majlis Menandatangani Opsyen Sistem SSPA Oleh Warga Kerja JPA di Dewan Mezzanine, Aras 2, Blok C1, Kompleks C, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan kakitangan awam yang menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mahupun yang kekal dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) akan dilayan sama rata.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, skim SSPA yang dilaksanakan 1 Disember depan mempunyai banyak kelebihan, antaranya penyelarasan kenaikan gaji dan elaun serta pembangunan kerjaya.

“Tidak (akan ada diskriminasi antara yang tandatangan SSPA atau kekal SSM). Sekiranya mereka memilih SSPA, inilah yang mereka akan dapat sebagaimana kita terangkan sebelum ini manakala bagi mereka yang ingin kekal dalam SSM, mereka tetap dilayan sebagai penjawat awam biasa.

“Cuma dari segi gajinya mungkin tidak akan ada perubahan kerana dia akan mengikut gaji semasa SSM dahulu. Saya percaya dan yakin hampir tidak ada isu,” katanya ketika menghadiri majlis menandatangani opsyen SSPA oleh 75 warga kerja JPA di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan yakin lebih 1.4 juta penjawat awam akan mengambil opsyen SSPA sehingga tamat tempoh opsyen pada 30 November depan.

“Harapan saya memang begitulah, sebenarnya bukan 1.6 juta penjawat awam, cuma penjawat awam ini sekitar 1.4 juta orang. Saya percaya ramai yang akan menandatangani.

“Saya lihat sangat positif libat urus kerana kebanyakan mereka diberi penjelasan yang sejelas-jelasnya berkaitan dengan sistem ini,” katanya lagi.

Tawaran pemilihan opsyen SSPA terbuka kepada semua penjawat awam bertaraf tetap bagi menggantikan SSM.

Untuk rekod, pelarasan gaji baharu bakal diterima Pegawai Awam bertaraf tetap dan lantikan kontrak (COS) seawal bulan Disember ini, dengan Gaji Permulaan Terendah dalam perkhidmatan awam ditingkatkan kepada RM1,500 sebulan.

Ditanya mengenai penjawat awam yang tidak memilih opsyen SSPA, Wan Ahmad Dahlan berkata, golongan itu akan kekal dalam skim SSM sehingga mereka pencen.

“Mereka yang tidak berpindah daripada SSM ke SSPA, maka tidak akan ada pelarasan gaji. Apabila tidak ada pelarasan gaji, sekiranya mereka pencen kelak, maknanya pencen tersebut akan mengikut gaji semasa SSM.

“Tetapi apabila memilih SSPA dengan pelarasan gaji yang lebih baik, pencennya sudah pasti akan lebih baik,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pada 16 Ogos lalu bahawa SSPA akan menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember.

Bagaimanapun, berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), penjawat awam yang menolak opsyen SSPA tidak layak untuk menerima pelarasan gaji.

Mereka yang turut tidak layak menerima pelarasan gaji ialah pegawai yang tidak lagi berkhidmat pada 1 Disember 2024 atau 1 Januari 2026. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here