Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DDHPP) Melaka, Dr. Shawn Loh Sheng Nian melahirkan rasa bimbang mengenai peningkatan kes penipuan dalam masyarakat terutamanya melibatkan pelbagai jenis penipuan pelaburan (scammer) di negara ini.

Beliau terpanggil untuk menyuarakan isu ini selepas pendedahan polis Hong Kong mendedahkan kewujudan sindiket penipuan berskala besar yang menggunakan modus operandi ‘temu janji dalam talian’ yang telah memerangkap mangsa dari Hong Kong, Malaysia, Taiwan dan Singapura.

“Difahamkan sindiket ini beroperasi dari sebuah pusat scammer dikenali sebagai KK Park di Myanmar. Laporan awal menunjukkan kumpulan ini telah menipu lebih daripada HK$360 juta (kira-kira RM199 juta) sepanjang tahun lalu.

“Kumpulan tersebut menggunakan teknologi kecerdasan buatan deep fake untuk mencipta video palsu di mana penipu menyamar sebagai wanita yang menarik, lengkap dengan perubahan rupa dan suara bagi memperdaya mangsa sehingga melaburkan ratusan ribu hingga jutaan ringgit pada satu-satu masa.

“Sindiket ini sangat bijak menggunakan teknologi AI sehingga dapat merekodkan keuntungan atas talian namun mangsa akan sedar ditipu apabila wang itu tidak dapat dikeluarkan lagi.

“Apa yang saya risau laporan juga mengatakan ramai mangsa dalam kalangan rakyat negara ini juga,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Shawn Loh Sheng Nian

Kata Dr Shawn lagi, walaupun pihak berkuasa khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus melaporkan perkembangan kes-kes melibatkan penipuan pelaburan, kripto dan banyak lagi namun masyarakat masih lagi menjadi mangsa sindiket.

“Sindiket-sindiket ini juga difahamkan bukanlah calang-calang tapi berpendidikan tinggi, ramai graduan direkrut terutamanya yang pakar teknologi. Jadi cara penipuan ini juga sangat canggih sehingga boleh mengaburi mata terutamanya golongan yang mahu gandakan wang mereka.

“Saya mohon supaya fikir banyak kali sebelum melakukan pelaburan seumpama ini. Banyak berita di media sosial tentang penipuan seperti ini yang dilaporkan hampir setiap jam namun masih ramai lagi tidak sedar bahaya ini.

“Pelbagai cara kreatif dan baharu dicari untuk terus menipu kita, jangan berharap pada pihak berwajib sahaja sebaliknya kita sendiri perlu berwaspada dan juga lakukan advokasi secara agresif bagi pastikan tiada kes seperti ini, jangan beri peluang kepada kumpulan ini rampas hak titik peluh anda,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here