Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee membidas Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini kerana tidak menyatakan hasrat kerajaan memberi pendidikan percuma dan menghapus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, malah kerajaan menerusi belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan hasrat untuk mengurangkan subsidi di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk penuntut daripada keluarga daripada kumpulan T15.

“Sebaliknya dicatat bahawa subsidi yang disediakan kerajaan untuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan dikaji dan anak-anak maha kaya akan ditarik balik daripada menikmati subsidi ini begitu juga beberapa program IPTA, yurannya akan dikaji untuk dinaikkan bukan dikurangkan.

“Masalahnya Speaker, ada pemimpin-pemimpin di sebelah sana (kerajaan) yang melaungkan untuk memberi pendidikan percuma dan menghapuskan hutang PTPTN untuk rakyat Malaysia tetapi tidak diterjemahkan dalam bajet ini. Moral of the story (pengajarannya) jangan janji bagi pendidikan percuma dan jangan janji untuk menghapuskan hutang PTPTN keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu memberitahu, kerajaan juga gagal menjelaskan inisiatif menangani isu beras putih tempatan yang seharusnya ditangani Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

“NACCOL dilihat tidak berfungsi menangani masalah beras putih tempatan. Bukan sahaja masalah kos sara hidup tapi masalah ini. Kerajaan buat kenyataan akan mengolah satu dasar menangani isu beras putih tempatan tapi sehingga kini tiada perancangan teliti yang diambil oleh majlis itu.

“Begitu juga isu beras putih tempatan yang dikampit menjadi beras putih import, masih berleluasa. Isu beras putih tempatan yang yang hanya kelihatan di PRK (Pilihan Raya Kecil) dan di jualan Madani masih terlalu ketara Speaker,” ujarnya pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin (DAP) kemudian bangun mencelah dan menggesa Ronald menarik balik kenyataannya, disusuli pertikaman lidah di antara kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan selama beberapa minit.

Menurut Zhemin, kerajaan tidak pernah berjanji untuk memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan hutang PTPTN sebelum menang pilihan raya lalu.

Sebaliknya Chong berkata, janji tersebut merupakan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada 2013.

“Itu tidak betul, itu manifesto 2013, jangan kitar semula pembohongan ini. Sila tarik balik. Itu manifesto lama. Manifesto 2022 tidak ada parti yang janji pendidikan percuma, hapuskan PTPTN. Jadi saya harap Beluran tarik balik itu pembohongan jangan kelirukan Dewan Rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Alice Lau membidas Ahli Parlimen itu dengan mengatakan bahawa Ronald tidak menyebut nama parti dan individu secara spesifik.

Beliau turut diberi amaran supaya tidak menganggu sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 yang sedang berlangsung.

“Beluran tidak sebut mana-mana parti dan juga Beluran cakap jangan buat apa-apa janji dan tidak sebut siapa-siapa. Jadi Yang Berhormat (YB) Kampar kalau tidak puas hati boleh buat usul,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast