KUALA LUMPUR – Bantuan kerajaan termasuk menerusi Belanjawan 2025 yang diumumkan mengikut kelas pendapatan mungkin menyebabkan ada kumpulan masyarakat yang tersisih khususnya golongan miskin bandar.
Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad berkata, sebahagian kumpulan masyarakat itu terperangkap dalam pengelasan yang tidak adil terutama golongan berpendapatan sederhana tinggi atau M40 yang membayar cukai pendapatan kepada negara.
Jelas beliau, kebanyakan miskin bandar terdiri daripada golongan bekerja yang terpaksa menanggung pelbagai komitmen tambahan seperti kos jagaan anak, kos minyak dan tol untuk perjalanan harian di samping sewa rumah dan belanja makanan asas yang lebih tinggi berbanding di luar bandar.
Selain itu, tambahnya, fasiliti kesihatan kerajaan seperti klinik dan hospital juga lebih sesak di bandar menyebabkan mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan swasta untuk kes kecemasan.
“Berdasarkan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah, secara purata isi rumah di Malaysia berbelanja RM5,150 sebulan pada 2022 dengan saiz isi rumah emapt orang dan lebih.
“Jumlah perbelanjaan tersebut menyamai jumlah pendapatan golongan M40 bawah yang sudah tergolong dalam miskin bandar,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah Zurk, miskin bandar yang melibatkan pelbagai latar belakang masyarakat sewajarnya mendapat bantuan sosial lain berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.
Sebagai contoh, katanya, pengurangan bayaran atau pelepasan tertentu daripada pelbagai bebanan cukai yang ditambah kerajaan.
“Mereka juga terkesan dengan kos sara hidup hari ini yang tinggi di bandar akibat kenaikan harga barang tidak menentu,” katanya.
Dalam masa sama, ujar beliau, komitmen kerajaan untuk menghapuskan mekanisme pengkelasan pendapatan secara berperingkat mulai awal tahun ini patut diberi tumpuan secara serius.
Katanya, usaha yang sepatutnya direalisasikan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) seperti yang diuar-uarkan perlu diteliti semula sepadan dengan kos yang telah diperuntukkan untuk membangun sistem tersebut.
“Semoga nasib miskin bandar juga terbela kerana sebahagian besar mereka adalah golongan pembayar cukai yang menyumbang banyak kepada hasil pendapatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette