IPOH – Seorang buruh pertanian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa atas pertuduhan merogol anak rakannya yang berusia 14 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh, Wan Muhamaad Sofie Wan Supian, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rogol terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang juga anak kepada rakannya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Sungai Timah, Mukim Bandar, dalam daerah Perak Tengah pada jam 10 pagi, 2 Julai lalu.

Berikutan itu, lelaki terbabit boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Nur Amalina mencadangkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya diberi jaminan minimum atas alasan perlu menanggung lima adiknya selain berpendapatan RM50 sehari sebagai pengangkat baja.

Azizah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis dua bulan sekali.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai serta menetapkan 25 November depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here