Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fakhruddin Mohd Ariff

KUANTAN – Sebanyak lima lagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang menyertai Majlis Bandaraya Kuantan menuju ke arah penarafan status Bandar Pintar tahun ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fakhruddin Mohd Ariff memberitahu, pencalonan PBT terbabit telah dikemukakan pada Julai lepas menerusi Platform Bandar Pintar Negara di bawah PLANMalaysia Ibu Pejabat.

“Majlis Bandaraya Kuantan telah mengemukakan pencalonan bagi penarafan Bandar Pintar Tahap 2 iaitu Developing Smart City, manakala Majlis Perbandaran Temerloh, Pekan dan Bentong serta Majlis Daerah Lipis dan Jerantut pula mengemukakan pencalonan bagi penarafan Bandar Pintar Tahap 1 iaitu Smart City Early Adopter.

“Terdapat indikator yang perlu dipenuhi bagi setiap empat tahap ke arah mencapai penarafan status sebagai Bandar Pintar di mana Bandaraya Kuantan kini berada pada tahap dua yang perlu memenuhi 35 indikator yang diperlukan sebelum ke tahap seterusnya iaitu Visionary Smart City,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Pahang 2024 di Swiss-BelHotel, di sini, hari ini.

Jelas Mohd Fakhruddin, bagi menjayakan pembentukan Bandar Pintar, penerapan tujuh komponen perlu dilaksanakan dalam perancangan pembangunan yang merangkumi Smart Government, Smart Economy, Smart Mobility, Smart People, Smart Living, Smart Environment, dan Smart Digital Infra.

“Dalam Smart Government sebagai contohnya kita memberi peluang kepada masyarakat bagi mendapat maklumat atau data yang lebih terbuka dan perkongsian data antara negeri.

“Pelaksanaan Smart Economy pula untuk membolehkan digitalisasi dalam perniagaan, memberi sokongan kepada industri dan juga mengalakkan inovasi dalam perniagaan,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga melaksanakan agenda Pahang Netzero dengan mensasarkan pencapaian Netzero pada tahun 2030 dalam konteks mengurangkan pelepasan gas karbon. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here