Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan dakwaan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bahawa kerajaan gagal menamatkan kemiskinan tegar mengikut tempoh yang disasarkan.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata, jumlah isi rumah yang masih berada dalam kategori tersebut didorong daripada rekod sebelum ini iaitu ketika PN menerajui negara.

“Janganlah kata gagal, jumlah ini (yang saya sebut tadi) adalah masa kerajaan yang disokong oleh YB Rantau Panjang, kita guna angka itu dan kita selesaikan. Kemudian saya rujuk kepada semua kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff (PN) Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Zailah menerusi soalan utamanya meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar sebagai mana yang telah dijanjikan pada 2023.

Beliau turut meminta Perdana Menteri menyatakan mekanisme yang digunakan bagi menentukan kategori berkenaan.

Mengulas lanjut menurut Anwar sehingga 21 Oktober tahun ini, kerajaan menyelesaikan 65.6 peratus kemiskinan tegar daripada 22,893 yang telah didaftarkan berdasarkan rekod 1 Ogos yang lalu.

Dalam masa yang sama, beliau kekal optimis bahawa kerajaan mampu untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara.

Katanya lagi, kerajaan-kerajaan negeri sehingga kini memberikan kerajasama yang baik kepada kerajaan persekutuan untuk saling bekerjasama mencapat matlamat berkenaan menggunakan pendekatan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI).

“Setakat ini Menteri-Menteri Besar tidak semestinya di Ahli Parlimen beri kerjasama sepenuhnya… Kerana ada peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan daripada kerajaan negeri juga. Kita gabung itu semua.

“Setakat ini saya tidak ada masalah dengan kerajaan-kerajaan negeri, tidak seperti Ahli Parlimen kerana mereka memberikan kerajasama yang penuh untuk menyelesaikan masalah-masalah ini,” jelasnya.

Pada 30 September yang lalu, Anwar mengumumkan kerajaan mengukur kemiskinan tegar dalam negara menggunakan NDI sebagai asas mengenal pasti kumpulan sasar untuk pemberian bantuan.

Sebelum ini Perdana Menteri mahu kemiskinan tegar diselesaikan pada akhir Julai lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here