Istana Kehakiman, Putrajaya

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan rayuan akhir bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd Arif Ab Rahman kes rasuah berjumlah RM627,636 pada 2016.

Turut merayu, anak beliau, Ahmad Zukhairi, yang sedang merayu keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 November 2016 berhubung hukuman penjara dan denda.

Mohd Arif dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta manakala Ahmad Zukhairi pula dipenjara lima tahun serta denda RM9.6 juta. 

Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan membuat ketetapkan untuk menangguhkan tarikh keputusan pada 7 November depan.

Kedua-dua perayu didakwa dan disabitkan salah oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi kerana didakwa bersama-sama bersubahat menerima rasuah berjumlah RM627,636 di Royal Lake Club Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2016.

Ahmad Zukhairi didakwa atas empat pertuduhan iaitu pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan wang tunai dalam dolar Singapura jumlah yang sama daripada Pengarah Wazlina Sdn Bhd (Wazlina), Datuk Mohd Safian Mohd Salleh pada tarikh dan tempat sama.

Suapan itu sebagai upah untuk Ahmad Zukhairi dan bapanya kerana memberikan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di empat pulau terpencil di Sandakan, Sabah bernilai RM60 juta kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn Bhd (Eramaz).

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Zukhairi didakwa meminta suapan dua peratus bernilai RM1.2 juta daripada Mohd Safian sebagai upah untuknya dan Mohd Arif kerana membantu Eramaz mendapat Projek BELB itu.

Dia juga didakwa menerima wang tunai RM130,000 daripada kontraktor Zul Fadli Rozi sebagai upah membantu syarikat HH Global Construction Sdn Bhd untuk mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi di Tasik Kenyir, Terengganu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Kedua-kedua perayu diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan M Athimulan manakala pendakwaan dilakukan oleh Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here