Muhammad Rafique Rashid

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dilihat tidak bersedia untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan tahun depan.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Rafique Rashid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengumumkan penyasaran tersebut tanpa mengetahui kesan dan mekanisma pelaksanaan RON95.

“Terdapat kecelaruan maklumat sehingga kini. PMX/MOF umum tidak akan ada kesan bagi majoriti 85% rakyat. Yang terkesan T15 dan warga asing. Tapi apa definisi T15?

“Pakar ekonomi berbelah bagi. Ahli-ahli politik begitu juga. Tapi yang lebih pelik, dalam kerajaan sendiri. Menteri Pengangkutan kata mungkin perlu tunjuk MyKad. Kemudian beliau kata mekanisme dalam kajian akan dibentang kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Anwar yang membentangkan Belanjawan 2025 Jumaat berkata, penyasaran subsidi RON95 akan dilaksanakan pertengahan tahun hadapan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memberi alasan bahawa negara akan menjimatkan sehingga RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya ketika ini.

Sementara itu, Rafique berkata, kerajaan juga tidak mempunyai perancangan yang jelas dan spesifik mengenai perancangan penyasaran subsidi RON95 selain tidak mempunyai mekanisma untuk menjimatkan belanja yang tidak menyusahkan rakyat pada masa depan.

“Antara cara mudah adalah tidak teruskan subsidi atau jimat subsidi. Maknanya jangan tanggung yang tidak perlu bantuan rakyat. Dijangka Kerajaan dapat jimat sehingga RM8bilion.

“Tetapi tidakkah Kerajaan ingin fikirkan cara lain? Bagaimana dengan cukai makmur dan cukai pewarisan (windfall and inheritance tax)? Lagipun bukankah PMX sentiasa kata dia buru yang Mahakaya , tauke-tauke dan taikun?

“Apa kata dinaikkan cukai bagi pihak-pihak yang jual beli saham secara mendadak dan masuk sebagai pemilik saham hanya kerana ada nama atau bau-bau dengan mereka yang menangi pilihanraya? Atau cukai mereka yang pinjamkan pelbagai kemudahan kepada ahli-ahli politik semasa kempen PRU/ PRK?, soal Rafique. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast