Ujian terbaharu yang dijalankan CAP ke atas mainan, aksesori peribadi, kosmetik dan rempah ratus terdapat plumbum.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa menguatkuasakan peraturan undang-undang plumbum sedia ada dengan lebih tegas.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkenaan perlu mengisytihar undang-undang yang akan menghapuskan plumbum dalam cat.

Jelasnya, ia perlu susulan ujian terbaharu yang dijalankan ke atas mainan, aksesori peribadi, kosmetik dan rempah ratus terdapat plumbum.

“Daripada 40 sampel yang diuji, lebih daripada 20 sampel didapati mengandungi plumbum manakala satu sampel kosmetik bagi mata didapati mengandungi plumbum hampir 1,000 kali ganda melebihi paras yang dibenarkan.

“Sempena Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa (ILPPW) yang diiktraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), CAP menghantar sebanyak 40 sampel pelbagai produk dan rempah ke makmal bebas bagi menguji jumlah plumbum yang ada.

Mohideen (kanan) bercakap pada sidang media di Pejabat CAP hari ini.

“Didapati sembilan daripada sebanyak 25 sampel rempah mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan dan satu sampel serbuk cili didapati mengandungi lebih daripada lapan kali ganda paras plumbum yang dibenarkan.

“Jadual Keempat Belas (Peraturan 38) Peraturan Makanan 1985 hanya membenarkan dua bahagian per sejuta (bps) terdapat dalam serbuk kari dan rempah ratus,” katanya dalam sidang media di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, bagi produk kosmetik, sebanyak empat daripada lapan sampel yang diuji didapati mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan dan daripada jumlah itu, dua sampel kosmetik bagi mata didapati mengandungi paras plumbum sangat tinggi.

“Satu sampel mempunyai sebanyak 196,996 bps dan satu lagi 125,688 bps plumbum manakala garis Panduan bagi Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia hanya membenarkan 20 bps plumbum hadir dalam produk kosmetik.

“Kesemua enam sampel aksesori iaitu gelang dan pin rambut diuji didapati mengandungi plumbum yang mana satu sampel gelang didapati mengandungi lebih daripada 300 bps plumbum.

“Plumbum adalah toksik terkumpul menjejaskan pelbagai sistem tubuh, berbahaya kepada kanak-kanak kecil dan wanita hamil dan juga berbahaya kepada semua yang terdedah,” katanya.

“Sehubungan itu, kita menggesa kerajaan mengisytiharkan piawaian mandatori untuk plumbum dalam cat memandangkan penghapusan cat plumbum semakin meningkat di peringkat global,“ katanya. – MalaysiaGazette