Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 5 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Pegangkutan kini sedang menambah baik kemudahan dan infrastruktur di semua pintu masuk negara dalam persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya telah mendapat arahan daripada Kabinet bagi memastikan semua pintu masuk negara khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk bersiap sedia.

Sehubungan itu, jelas beliau, pihaknya juga telah meminta Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk mengubah suai dan menaik taraf antaranya bilik dan laluan untuk orang kenamaan di KLIA.

“Memang ini sedang kita lakukan, sebab kita menjangkakan ramai pemimpin ASEAN dan orang-orang kenamaan akan masuk ke negara kita terutamanya menerusi KLIA.

“Sebenarnya usaha menaik taraf ini sama ada kita jadi Pengerusi ASEAN atau pun tidak memang sedang kita lakukan, tetapi oleh kerana tahun depan kita jadi Pengerusi ASEAN, maka lebih banyak usaha seperti ini dijalankan,” katanya.

Anthony Loke ditemui pemberita selepas meninjau penggunaan Unit Kombo iaitu inisiatif terbaharu syarikat AirAsia dalam mengurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang melalui pengenalan teknologi sokongan darat terkini di hab utamanya di KLIA Terminal 2, di sini hari ini.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.

Ketika itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul kayu Pengerusi ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan memulakan bab baharu di bawah ‘Visi Komuniti ASEAN 2045’.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, semua kerja menaik taraf dan ubah suai di pintu-pintu masuk utama negara itu perlu dipastikan siap sebelum 31 Disember ini.

Bagi projek aerotrain di KLIA pula, tambah beliau, projek itu dijangka siap dan bakal beroperasi semula awal Februari tahun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast