Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 22 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sukar dilaksanakan kerana kerajaan mempunyai komitmen kewangan yang begitu besar.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira komitmen peminjam yang telah melangsaikan hutang pinjaman mereka.

Menyifatkan isu ini sudah lama dibangkitkan kerana ia dimasukkan dalam manisfesto parti  sama ada kerajaan mahupun di pihak pembangkang.

“Isu PTPTN ini menjadi isu yang agak lama dan semua parti pun meletakkan dalam manifesto masing-masing, termasuk sebelah sini (kerajaan) dan juga yang di sebelah sana (pembangkang).

“Cuma dalam keadaan sekarang ini, memang untuk kita hapuskan (hutang) agak sukar dengan komitmen kerajaan yang begitu besar dan kita juga kena fikirkan, bila kita mahu hapuskan yang belum membayar, kita kena fikirkan juga yang sudah membayar itu

“Jadi, maknanya komitmen (bayaran) jika tidak silap dalam RM76 bilion yang sudah membayar, jadi kita perlukan dana ini untuk kita buat “rolling” bagi membiayai pendidikan pelajar selepas ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) yang mahukan penjelasan sama ada kementerian merancang untuk mengkaji semula keperluan pemansuhan hutang pinjaman PTPTN secara bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 seperti yang dijanjikan sebelum ini dan tindakan yang bakal diambil kepada peminjam yang gagal melunaskan tunggakan hutang.

Dalam pada itu Mustapha berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan PTPTN sedang bekerjasama rapat dengan Unit Pantau Madani di bawah Kementerian Kewangan untuk mengkaji serta mencadangkan model pembiayaan baharu PTPTN yang lebih efisien serta mampan untuk jangka masa panjang bagi pembiayaan pendidikan tinggi negara.

Menjawab soalan asal Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berhubung inisiatif KPT bagi menggalakkan pembayaran balik pinjaman PTPTN, membabitkan tunggakan RM6 bilion oleh 430,000 peminjam, Mustapha berkata, walaupun tindakan penguatkuasaan bayaran balik pinjaman dan sekatan perjalanan kepada peminjam ingkar dihentikan sejak Jun 2018, namun PTPTN mengingatkan peminjam mengenai tunggakan dan tanggungjawab membuat bayaran balik dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast