Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto AIZAT ZAINAL, 06 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Sejak penubuhan Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (NFP) pada April 2024, ia berjaya mengurangkan tempoh masa untuk menjejaki dana yang hilang sebanyak 75 peratus kepada 30 minit dan meningkatkan jumlah dana yang dibekukan sebanyak 28 peratus.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, keupayaan institusi kewangan untuk mengenal pasti akaun keldai telah meningkat sebanyak 14 peratus.

Menurutnya, pelaksanaan NFP juga disokong dengan prosedur pengendalian akaun keldai yang dibangunkan oleh industri bertujuan untuk menambah keupayaan untuk mengenal pasti akaun keldai.

“Saya ingin menekankan mana-mana mangsa penipuan kewangan untuk membuat laporan secepat mungkin dengan menghubungi NSRC di talian 997 bags membolehkan tindak balas pantas dapat diambil oleh institusi kewangan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Miri-PH, Chiew Choon Man yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan keselamatan terhadap penipuan, termasuk serangan oleh peranti pihak ketiga dan tetapan dasar jaminan pulangan wang bagi transaksi yang tidak sah seperti yang ditawarkan oleh sesetengah platform dompet digital.

Bagi memperkukuhkan perlindungan terhadap hak pengguna, katanya, BNM telah menetapkan keperluan ke atas institusi kewangan untuk menjalankan siasatan terperinci serta telus untuk setiap kes penipuan kewangan.

Pihak bank turut bertanggungjawab untuk menanggung sepenuhnya kerugian penipuan sekiranya disebabkan oleh kelemahan pihak bank.

Hui Ying menambah, penambahbaikan dasar ini menekankan prinsip kebertanggungjawaban bersama bagi kes-kes yang melibatkan kelemahan daripada kedua-dua belah pihak iaitu pihak bank dan pelanggan.

Ini penting terutamanya bagi kes-kes yang melibatkan kecuaian pelanggan dan pada masa yang sama kelemahan pihak bank untuk menyekat transaksi bersiri yang mencurigakan.

Jelas beliau, sebarang kes siasatan yang tidak berpihak kepada pelanggan mesti tertakluk kepada semakan bebas (independent review) untuk memastikan penilaian yang objektif.

“Sekiranya penyiasatan oleh pihak bank melebihi tempoh masa yang ditetapkan, pihak bank perlu menawarkan bantuan kewangan kepada pelanggan, tertakluk kepada terma dan syarat-syarat tertentu.

“Penambahbaikan ini bukan sahaja memastikan pihak bank berlaku adil terhadap mangsa transaksi tanpa kebenaran malah juga membentuk masyarakat yang lebih cakna dan berwaspada,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here