Seorang pemandu treler didenda RM22,000 di Mahkamah Majistret Yong Peng, Batu Pahat hari ini menjatuhkan kerana memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan empat kenderaan

BATU PAHAT – Mahkamah Majistret Yong Peng di sini hari ini menjatuhkan hukuman RM22,000 terhadap seorang pemandu treler kerana memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan empat kenderaan di persimpangan jalan Sri Medan-Yong Peng, 13 Oktober lalu.

Majistret Suhaila Shafi’uddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Ridzuan Mohd Rani, 47 selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan dihadapinya.

Sekiranya gagal membayar denda akan dipenjara 10 bulan dan butir-butir sabitan itu juga diendors dalam mana-mana lesen memandu yang dipegang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Ridzuan didakwa memandu kenderaan itu di jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap orang lain yang menggunakan jalan berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lampu isyarat persimpangan Jalan Sri Medan-Yong Peng di sini pukul 3.47 petang pada 13 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan jika sabit kesalahan, selain butiran mengenai sabitan di bawah seksyen ini hendaklah diendorskan pada lesen memandu orang yang disabitkan itu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip dengan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tan Song Yan.

Sebelum itu, Farah Wahidah memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana kes berkenaan tular dalam media sosial hingga mencetus kebimbangan orang ramai.

Bagaimanapun, Soon Yang memohon supaya denda dikurangkan kerana tertuduh tidak mempunyai rekod kemalangan sejak memandu treler pada 2014 sehingga kini selain pengakuan salah telah menjimatkan masa dan kos.

Mohd Ridzuan yang diberi peluang merayu di depan majistret, menangis dan tidak dapat menahan sebak memberitahu mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Kejadian pada 13 Julai itu berlaku apabila lori yang membawa muatan bata hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek.

Dalam kejadian itu, treler terbabit merempuh empat kereta serta dua motosikal yang ketika itu sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan berlaku apabila lori terbabit dari Parit Sulong dalam perjalanan ke Johor Bahru.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi dengan jalannya menuruni bukit, pemandunya mendapati treler itu mengalami masalah brek sebelum merempuh kenderaan berhenti di persimpangan lampu isyarat terbabit.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here