Barang-barang yang dirampas pihak polis Foto PDRM

KUALA LUMPUR- Seorang penganggur ditahan kerana dipercayai melakukan samun bersenjatakan parang di sebuah hotel di Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan di Marang, 11 pagi tadi.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan susulan laporan polis yang diterima berhubung kejadian samun, jam 4.20 pagi semalam.

Siasatan mendapati suspek yang bersenjatakan parang menyamun pekerja hotel berkenaan dan melarikan wang tunai berjumlah RM6,600.

Turut dirampas sebuah motosikal, satu topi keledar dan sebilah parang yang digunakan semasa kejadian serta wang tunai berjumlah RM5,180 dan resit deposit wang hasil daripada kejadian samun berkenaan.

“Dengan tertangkapnya lelaki terbabit, polis dapat menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam selain turut menyelesaikan satu lagi kes kecurian wang di hotel yang sama yang berlaku sebulan sebelum kejadian samun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan sebatan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here