Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat ketetapan terhadap kegunaan penjimatan yang diraih menerusi penjanaan ekonomi domestik termasuk rasionalisasi subsidi iaitu sebanyak RM15 bilion seperti yang diumum sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan setakat ini hanya menetapkan sebahagian penjimatan digunakan untuk menambah RM3 bilion Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan pembentangan Belanjawan 2025 yang dibuatnya baru-baru ini.

“Tentang penjimatan itu unjuran, mungkin lebih mungkin kurang. Tapi setakat ini kita belum tetapkan melainkan RM3 billion (tambahan) untuk kelompok miskin menerusi pemberian STR dan juga peningkatan (peruntukan) pendidikan dan kesihatan yang lebih ketara.

“Memang ada peningkatan walaupun masih defisit, kita masih kurangkan defisit, hutang kita kurangkan tapi masih ada peningkatan dari segi penjimatan dan pendapatan negara baik hasil dan penyasaran subsidi yang menjimatkan,” katanya di Dewan Rakyat Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, hari ini.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam soalan tambahannya berkata rakyat ingin mengetahui bagaimana kerajaan menyalurkan hasil penjimatan pendapatan negara yang boleh memberi manfaat kepada mereka.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menaikkan nilai ambang pendapatan rakyat untuk melayakkan permohonan STR.

Ujarnya, peningkatan tersebut wajar dilakukan secara berkala menerusi pindaan undang-undang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kemudian berkata, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Cadangan (untuk) menetapkan dari segi undang-undang itu akan kita kaji. Ia baik umpamanya lihat keperluan meningkatkan berdasarkan kos sara hidup,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast