Keadaan kebersihan tandas murid pada Majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Penyelanggaraan tandas untuk 310 buah sekolah di Sarawak yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia berikutan kekangan masa, lokaliti dan kekurangan pekerja binaan seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pembangunan Negeri tersebut.

Terdahulu katanya, penyelenggaraan tandas pada tahun lalu telah dilaksanakan di 8,354 sekolah dan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, penyelenggaraan dibuat dengan menggunakan peruntukan khas sebanyak RM654.29.

“Ini dengan pecahan kepada 8,306 buah SK serta 48 buah institusi pendidikan bukan sekolah,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

Susulan itu katanya, KPM tahun ini menyalurkan RM31 juta bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas di sekolah-sekolah yang tidak sempat disiapkan di Sarawak pada tahun lalu.

Tambah beliau, selain itu KPM telah menyalurkan RM124.73 juta peruntukan khas untuk tujuan naik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas di Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) sehingga Oktober tahun ini.

Jelasnya, baki peruntukan telah digunakan untuk tujuan penyelenggaran kecil lain di SBK.

“KPM sentiasa memastikan peruntukan penyelenggaraan diagihkan dengan adil dan sewajarnya kepada semua jenis sekolah KPM sama ada SK atau SBK,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast