KUALA LUMPUR – Sesuatu perhimpunan aman tanpa senjata perlu dimaklumkan terlebih dahulu penganjurannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia merupakan undang-undang yang digunapakai berpandukan kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 [Akta 736].
Tegasnya, PDRM bertanggungjawab mengambil langkah sebagai mana yang difikirkan perlu untuk memastikan perhimpunan dikendalikan dengan teratur termasuk mana-mana undang-undang bertulis yang lain.
“Berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, permohonan permit yang dimaksudkan adalah pemberitahuan perhimpunan,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Choe Yu Hui (DAP – Raub) yang ingin tahu sama ada permit daripada PDRM diperlukan untuk penganjuran perhimpunan awam bawah Akta Perhimpunan Awam 2012.
Mengulas Shamsul Anuar berkata, pemberitahuan perhimpunan di bawah seksyen 9 (1) Akta 736 perlulah memenuhi keperluan yang telah ditetapkan di bawah seksyen 10 Akta 736.
Antaranya kata beliau, adalah melengkapkan borang pemberitahuan yang mengandungi butiran-butiran perhimpunan, anggaran jumlah peserta dan individu yang dilantik oleh penganjur untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan teratur.
Sementara itu, Shamsul Anuar menegaskan, polis mempunyai kuasa di bawah seksyen 15 Akta 736 untuk mengenakan syarat dan sekatan ke atas sebuah perhimpunan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara, termasuklah perlindungan kepada hak dan kebebasan orang lain. – MalaysiaGazette