Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR: Tiga inisiatif utama dalam Belanjawan 2025 untuk dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mencerminkan tekad kerajaan bagi mewujudkan ekonomi Madani yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed menyambut baik pengumuman belanjawan berkata, penyediaan jaringan keselamatan sosial adalah elemen terpenting di sebalik ketidaktentuan di peringkat domestik dan global.

Sehubungan itu, katanya, peruntukan subsidi RM100 juta dalam bentuk geran padanan bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ialah langkah tepat, dengan mengambil kira pola peningkatan peralihan pekerja ke sektor tidak formal pasca Covid-19.

“Inisiatif padanan caruman sebanyak 70 peratus dibiayai kerajaan menerusi SKSPS, manakala baki 30 peratus oleh individu bekerja sendiri mencerminkan kecaknaan kerajaan mengenai keperluan menyediakan jaringan keselamatan sosial bagi pekerja di sektor tidak formal.

“Kelangsungan usaha ini penting kerana jurang keadilan sosial antara sektor formal dan tidak formal masih wujud, sekali gus mendedahkan individu bekerja sendiri kepada pelbagai risiko bencana kerja serta kehilangan punca pendapatan.

“Justeru, Perkeso amat menyambut baik tekad kerajaan dalam memastikan sinergi perlindungan keselamatan sosial kekal untuk sektor tidak formal kekal terjamin pada tahun depan,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mohammed Azman berkata, tekad kerajaan meneruskan insentif bulanan RM600 bagi tempoh tiga bulan kepada majikan yang menggaji pekerja orang kurang upaya (OKU) dan bekas banduan demi memastikan golongan rentan tidak disisihkan daripada mendapat pembelaan sewajarnya dalam kerancakan sektor pasaran buruh.

Dari aspek kelangsungan tenaga buruh, beliau menyifatkan, pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso yang serba canggih di Terengganu, dengan anggaran kos pembinaan hampir RM600 juta merupakan strategi ‘serampang dua mata’.

“Hal ini kerana penyediaan kemudahan rehabilitasi yang ketiga seumpamanya di negara ini bukan sekadar menawarkan perkhidmatan holistik daripada rawatan pemulihan hingga program kembali bekerja, malah menjana peluang pekerjaan setempat.

“Pembangunan pusat rehabilitasi ini juga diyakini mampu menyuraikan kesesakan perkhidmatan dan menjamin keadilan sosial merentasi sempadan wilayah serta negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here