Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (NFP) yang ditubuhkan sejak April lalu berjaya mengurangkan tempoh menjejak dana sebanyak 75 peratus kepada 30 minit.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, portal tersebut meningkatkan jumlah dana yang dibekukan sebanyak 28 peratus.

Selain itu beliau berkata, setakat ini keupayaan institusi kewangan untuk mengenal pasti akaun keldai telah meningkat sebanyak 14 peratus.

“Melalui NFP, operasi NSRC kini dilengkapi dengan keupayaan automasi menyeluruh (end-to-end) bagi menguruskan laporan penipuan, mengesahkan dan menjejak dana yang dicuri serta membolehkan perkongsian amaran awal dalam kalangan institusi kewangan agar tindak balas pantas dapat diambil.

“Pelaksanaan NFP juga disokong dengan prosedur pengendalian akaun keldai yang dibangunkan oleh industri bertujuan untuk menambah keupayaan untuk mengenal pasti akaun keldai,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man (PKR) di Dewan Rakyat hari ini.

Chiew meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh BNM untuk meningkatkan keselamatan terhadap penipuan, termasuk serangan oleh peranti pihak ketiga dan tetapan dasar jaminan pulangan wang bagi transaksi yang tidak sah seperti yang ditawarkan oleh sesetengah platform dompet digital.

Hui Ying berkata, BNM dan industri kewangan menerusi usaha penguatkuasaan konsisten melaksanakan pengukuhan keupayaan NSRC khusus bagi proses penjejakan dan pembekuan dana melalui penubuhan NFP.

Katanya, kini trend kes penipuan secara phishing dan malware yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) mula menunjukkan trend penurunan.

Jelasnya, ia merupakan antara impak positif langkah-langkah kawalan yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap institusi kewangan semenjak September dua tahun.

Katanya, ia turut terbukti apabila sebanyak RM383 juta transaksi tidak sah dan mencurigakan berjaya disekat tahun lalu.

“Di samping itu, BNM dan industri kewangan juga telah melaksanakan pelbagai program kesedaran untuk mendidik orang ramai, yang merupakan benteng pertama dalam usaha membanteras penipuan kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here