MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke ketika meninjau penggunaan Unit Kombo di KLIA 2, Sepang, hari ini.

SEPANG – Kerajaan akan menilai dan merangka semula keseluruhan reka bentuk ruang udara penerbangan negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke arah menyokong inisiatif penyahkarbonan dalam sektor itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha yang akan dijalankan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu bertujuan memastikan kecekapan dan kepantasan operasi pelepasan serta pendaratan pesawat.

Selain itu, jelas beliau, usaha tersebut juga bagi memastikan pesawat tidak berada terlalu lama di ruang udara sementara menunggu untuk mendarat atau perlu melalui landasan yang panjang sebelum berlepas.

“Ini adalah sesuatu yang amat penting kerana dengan menjimatkan masa untuk pesawat mendarat, setiap minit yang dijimatkan itu bukan sahaja boleh mengurangkan pelepasan karbon, malah boleh juga mengurangkan kos bahan api pesawat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke ketika berucap pada majlis pengenalan Unit Kombo di KLIA 2, Sepang, hari ini.

Terdahulu, Anthony Loke meninjau penggunaan Unit Kombo iaitu inisiatif terbaharu syarikat AirAsia dalam mengurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang melalui pengenalan teknologi sokongan darat terkini di hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini.

Dikenali sebagai Unit Kombo, alat itu menggabungkan dua fungsi utama iaitu Unit Kuasa Darat (GPU) dan Unit Penyaman Udara (ACU) yang berfungsi sebagai pembekal kuasa elektrik dan penyejuk udara kepada pesawat ketika berada di darat sebelum perlepasan dan transit.

Dalam demonstrasi terhadap pesawat hari ini, Unit Kombo yang merupakan inisiatif bersama AirAsia dan Smart Airport Systems (SAS) di bawah syarikat Alvest Group berjaya disambungkan dan diaktifkan dalam masa kurang dua minit sebaik sahaja pesawat tiba di pintu masuk semasa transit.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group, S. Kesavan dan Ketua Pegawai Kelestarian Capital A; Yap Mun Ching.

Sementara itu, Anthony Loke berharap AirAsia dapat memperluaskan penggunaan Unit Kombo itu di lapangan terbang lain ke arah menyokong pelan hala tuju penyahkarbon penerbangan yang telah dilancarkan kerajaan pada September lalu.

Dalam masa sama, beliau turut berharap syarikat penerbangan lain turut memperkenalkan inisiatif sama bagi pengoperasian pesawat mereka memandangkan kerajaan memerlukan sokongan semua pemain dalam industri penerbangan bagi menjayakan pelan tersebut.

“Apatah lagi, inisiatif seperti ini juga boleh mengurangkan kos operasi kepada syarikat penerbangan selain tidak memerlukan sokongan kewangan daripada kerajaan untuk dilaksanakan,” kata beliau.

Selain itu, jelas beliau, usaha tersebut juga bagi memastikan pesawat tidak berada terlalu lama di ruang udara sementara menunggu untuk mendarat atau perlu melalui landasan yang panjang sebelum berlepas.

AirAsia akan mula menggunakan empat Unit Kombo daripada SAS itu mulai bulan ini dengan sasaran menambah lebih banyak unit di KLIA Terminal 2 dan di semua hab domestik utama menjelang akhir tahun depan.

Melalui penggunaan sepenuhnya, Unit Kombo itu dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon AirAsia di darat sebanyak 20,000 tan setiap tahun.  – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here