Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terperosok di bawah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam nahas di Hala Bandar Baru Tambun, Bandar Baru Tambun, tengah malam tadi. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak

IPOH – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terperosok di bawah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam nahas di Hala Bandar Baru Tambun, Bandar Baru Tambun, tengah malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 12.19 tengah malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Tambun (BBP) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja menyelamat.

“Sewaktu tiba di lokasi didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah MPV jenis Honda.

“Kemalangan itu mengakibatkan penunggang motorsikal terperosok di bawah kereta tersebut.

“Mangsa, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun itu disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, anggota kemudiannya bertindak menggunakan air lifting bag untuk meninggikan kenderaan dan memberi ruang untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan pengusung.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 1.46 pagi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast