KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menasihati pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri memastikan bangunan lama di negeri ini berada dalam keadaan selamat untuk diduduki.
Baginda bertitah, insiden kebakaran di premis perniagaan tiga pintu berusia lebih 100 tahun kelmarin perlu dijadikan peringatan supaya kejadian sama tidak berulang.
“Saya nak mengingatkan pihak pentadbiran supaya tengok semula semua bangunan yang sudah lama dan usang. Mungkin juga perlu buat satu dasar yang baru berkaitan dengan bangunan lama ni.
“Perlu juga beri nasihat profesional yang tak boleh diabaikan dan tidak bertindak sambil lewa sahaja. Be firm about it.
“Kalau bangunan tak selamat, tulis situ tak selamat. Sebab ada risiko yang tinggi kepada orang yang datang, yang tinggal di situ dan orang yang bekerja di situ,” kata baginda selepas meluangkan masa hampir 30 minit meninjau premis perniagaan terbabit, hari ini.
Dalam pada itu, baginda mengakui terkejut dengan kebakaran premis terbabit yang tular di laman media sosial menzahirkan simpati kepada pemilik perniagaan itu. – MalaysiaGazette